Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Selasa, 1 November 2011

Penggunaan Demi Dan Untuk


Kesalahan berbahasa merupakan satu keadaan kerancuan berbahasa dalam kalangan pengguna bahasa. Antara begitu banyak jenis kesalahan bahasa, kesalahan penggunaan kata sendi nama tinggi juga kekerapannya, sama ada dalam bahasa lisan mahu pun dalam bidang penulisan. 

          Dalam ruangan ini, akan saya ketengahkan kesalahan penggunaan kata sendi demi dan untuk. Bentuk kesalahan kedua-dua sendi nama ini adalah kerana bagaimana hendak menggunakan sendi nama demi dan untuk secara tepat.

          Kata sendi nama demi dan untuk mempunyai maksud yang sama, iaitu bagi menggambarkan tujuan, dan boleh digunakan secara bertukar ganti. Namun demikian, ada kalangan pengguna bahasa menggunakan kedua-duan kata sendi nama ini secara serentak dalam binaan satu ayat. Contohnya:

          1.     Para atlet negara berikrar akan berjuang bermatian-matian dalam sukan Komanwel  
                  demi untuk negara. 

          2.    Orang ramai diingatkan supaya tidak membuang sampah merata-rata tempat demi  
                  untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

          3.    Demi untuk cintanya kepada pemuda itu, dia sanggup berbuat apa sahaja.

          Banyak orang beranggapan bahasa ayat (1), (2) dan (3) tidak salah, malah bagi sesetengah orang pula, penggunaan kedua-dua kata sendi nama demi dan untuk dalam ayat dapat menimbulkan keindahan selain untuk maksud penegasan. Hakikatnya, ketiga-tiga ayat yang di atas itu tidak gramatis kerana dua sendi nama hadir serentak dalam satu ayat. Kehadiran kedua-duanya secara serentak itu menimbulkan kelewahan bahasa, yakni satu keadaan yang berlebih-lebihan untuk menyatakan maksud.

          Harus diingat, bahawa memadailah satu kata sendi nama sahaja yang perlu ada dalam ayat itu. Oleh itu, ayat-ayat (1), (2) dan (3) di atas dapat dibetulkan seperti yang berikut ini:

          1a.    Para atlet negara berikrar akan berjuang bermatian-matian dalam sukan 
                    Komanwel demi negara;. atau

          1b.    Para atlet negara berikrar akan berjuang bermatian-matian dalam sukan 
                    Komanwel untuk negara. 

           2a.  Orang ramai diingatkan supaya tidak membuang sampah merata-rata tempat 
                   demi kebersihan alam sekitar. 

           3a.   Dia sanggup berbuat apa sahaja demi cintanya kepada pemuda itu.

          Perhatikan unsur ayat selepas kata sendi nama demi atau untuk ialah daripada golongan kata nama, iaitu demi negara atau untuk negara dalam ayat (1), demi kebersihan alam sekitar (ayat 2), dan demi cintanya. Kesemuanya binaan unsur itu ialah frasa sendi nama. Perhatikan juga, frasa sendi nama yang berkenaan boleh hadir di awal ayat atau sebaliknya. Kita boleh juga mengatakan:

          1c.   Demi negara, para atlet berikrar akan berjuang bermati-matian dalam sukan 
                  Komanwel.

          2c.   Demi kebersihan alam sekitar, orang ramai diingatkan supaya tidak membuang 
                  sampah merata-rata tempat.

          3c.   Demi cintanya kepada pemuda itu, dia sanggup berbuat apa sahaja.

          Kata demi dan untuk boleh digunakan dalam ayat secara bertukar ganti. Penggunaan secara bersilih ganti ini pula bergantung pada situasi atau kesesuaian maknanya. Hal ini terbukti dalam ungkapan yang berikut:
  
          4.   Demi Allah, aku tidak melakukan perbuatan terkutuk itu.

          Kata demi dalam ayat (4) ini berfungsi sebagai unsur penegas. Demi dalam ayat itu tidak boleh bertukar ganti dengan kata sendi nama untuk.

          4a.  Untuk Allah, aku tidak melakukan perbuatan terkutuk itu.

          Hal ini menunjukkan bahawa bukan dalam semua situasi ayat boleh menggunakan demi dan untuk secara bertukar ganti. Ada situasi ayat membenarkan demi dan untuk digunakan secara bertukar ganti, manakala ayat yang mempunyai unsur penegas perlu menggunakan kata demi sahaja.



KATA PENGUAT




Kata depan

  1. Kata sendi nama merupakan kata depan kepada kata nama.
  2. Kata sendi bertugas sebagai kata yang merangkaikan frasa nama dengan kata-kata atau frasa-frasa yang lain.
  3. Kata sendi memerlukan frasa nama untuk membentuk frasa sendi supaya dapat bertugas sebagai predikat ayat.
  4. Antara kata sendi yang lazim digunakan dalam Bahasa Melayu ialah seperti : di, ke, dari, daripada, kepada, pada, bagi, demi, tentang, seperti, bagai, umpama, sejak, terhadap, akan, oleh, hingga, sampai, antara, untuk, dengan, dalam, dan sebagainya.
maklumat lanjut - klik sini -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tetamu Istimewa

Santapan Rohani